Thursday 14 July 2016

SUKAN BERTARAF DUNIA DI MALAYSIA



SUKAN BERTARAF DUNIA DI MALAYSIA

          Bidang sukan merupakan bidang yang amat diminati oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia. Bidang ini bukan sahaja diadakan di sekolah malah dianjurkan di peringkat yang lebih tinggi seperti peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Akhir-akhir ini, Malaysia semakin terkenal dalam menganjurkan sukan bertaraf dunia.

          Antara kejohanan sukan bertaraf dunia yang dianjurkan oleh negara kita ialah Kejohanan Lumba Kereta Formula Satu, Kejohanan Lumba Basikal Le Tour De Langkawi, Sukan Komanwel, Badminton Piala Thomas dan Kejohanan Hoki Piala Dunia. Melalui penganjuran sukan berprestej ini masyarakat dunia mengenali negara kita dan mereka akan berkunjung ke sini untuk menyaksikan pertandingan tersebut. Sebagai contoh, kejohanan Formula Satu telah mencapai kejayaan kerana sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat tempatan dan luar negara.

          Kejohanan Lumba Basikal Le Tour De Langkawi merupakan kejohanan berbasikal yang semakin mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa. Pada setiapa tahun bilangan peserta yang mengambil bahagian meningkat dan prestasi mereka amat menggalakkan. Saya berasa yakin suatu hari nanti kejohanan ini akan sama tarafnya dengan Kejohanan Lumba Basikal Le Tour De France yang bertaraf dunia.

          Kejohanan Sukan Komanwel 1998 mencatat sejarah penting dalam penganjuran sukan di Malaysia. Kejohanan sukan kedua terbesar selepas sukan olimpik telah membawa pelbagai kejayaan kepada Malaysia. Negara kita tidak pernah memenangi pingat emas yang begitu banyak sepanjang kejohanan sukan itu diadakan  tetapi apabila sukan itu diadakan di Malaysia, prestasi atlet sukan kita amat memberangsangkan.

          Memang banyak faedah yang kita peroleh apabila kita menganjurkan sukan bertaraf dunia. Di samping dapat bersaing dengan atlet bertaraf dunia, atlet negara kita dapat memperoleh pengalaman yang luas melalui penyertaan mereka dalam bidang sukan itu. Industri pelancongan negara turut berkembang kerana pelancong asing menggunakan pelbagai kemudahan semasa berada di negara kita. Perkara ini dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara. Di samping itu, imej negara kita terserlah di dunia kerana kecemerlangan kita menganjurkan sukan bertaraf dunia ini.


          Kesimpulannya, penganjuran sukan bertaraf dunia memang digalakkan di negara ini. Bidang sukan yang dianjurkan ini bukan sahaja membawa pelbagai faedah kepada atlet negara tetapi dapat mengharumkan  nama Malaysia di persada antarabangsa.

.

No comments:

Post a Comment