Monday, 19 March 2012

Prosa Tradisional Merah Silu

Prosa Tradisional
(Merah Silu)


Sinopsis

Kisah bermula apabila Merah Gajah yang berkahwin dengan Puteri Betong telah dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Merah Silu dan Merah Hasum. Pada awalnya Merah Gajah tidak mengetahui isterinya mempunyai sehelai rambut berwarna keemasan di tengah kepala sehingga beliau terpandang isterinya menyikat rambut. Merah Gajah mahu mencabut rambut tersebut tetapi dihalang oleh isterinya. Sewaktu Puteri Betong tidur, Merah Gajah telah mencabut rambut tersebut menyebabkan keluar darah dari liang-liang rambut sehingga menyebabkan kematiannya.

Berita kematian Puteri Betong telah menimbulkan kemarahan ayahandanya Raja Muhammad dan mengambil tindakan membunuh Merah Gajah. Ayahanda Merah Gajah iaitu Raja Ahmad telah bertindak balas menyerang Raja Muhammad sehingga berlaku peperangan sengit menyebabkan kedua-duanya terbunuh termasuk sebilangan besar rakyat. Hanya yang tinggal Merah Silu dan Merah Hasum serta beberapa rakyat yang masih hidup dan mengaku taat setia kepada kedua-duanya untuk terus tinggal di negeri Semerlanga itu.

Merah Silu dan adiknya Merah Hasum berhasrat meninggalkan negeri itu kerana tidak ada sesiapa lagi kaum kerabatnya yang tinggal. Mereka berdua keluar meninggalkan negeri Semerlanga menuju ke sebuah negeri bernama Beruana. Mereka membuka perkampungan di tepi sungai. Suatu hari ketika di sungai, Merah Silu terlihat banyak ikan dan dia pergi ke hulu sungai menahan bubu. Beberapa kali bubu yang ditahannya dipenuhi dengan cacing gelang-gelang. Akhirnya dia mengambil keputusan membawa balik cacing gelang-gelang itu dan merebusnya di dalam kawah. Cacing itu telah bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak menyebabkan Merah Silu menjadi kaya.

Merah Hasum hanya diam apabila mendengar berita Merah Silu menjadi kaya. Pada suatu hari , Merah Silu menangkap kerbau liar tetapi tindakannya itu tidak disenangi oleh Merah Hasum kerana pada pendapatnya kerja itu tidak berfaedah dan hanya memalukan dirinya sebagai saudara kepada Merah Silu. Merah Hasum telah meminta Merah Silu menghentikan perbuatan tersebut dan menyuruh Merah Silu keluar dari negeri itu jika tidak mahu mendengar katanya. Akhirnya Merah Silu mencari petempatan baru dengan membawa segala harta dan kerbaunya. Merah Silu tiba di hulu Karang dan menetap di situ tetapi kehadirannya tidak disenangai oleh penduduk kampung kerana kerbau-kerbau itu memakan tanaman mereka.

Merah Silu berpindah lagi ke sebuah negeri bernama Buluh Telang. Di sini beliau bertemu dengan Megat Iskandar dan menyatakan hasratnya untuk tinggal di negeri tersebut dan menganggap Megat Iskandar sebagai bapanya. Megat Iskandar bersetuju membenarkan Merah Silu tinggal di situ dan boleh memelihara kerbau kerana ada ladang yang luas. Merah Silu suka menyabung ayam dan selalu memberi kerbau sebagai hadiah kepada sesiapa yang menyabung ayam dan yang menontonnya. Megat Iskandar dengan persetujuan pembesar dan rakyat telah melantik Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun. Sultan Maliku’l- Nasar tidak bersetuju dan menyerang Merah Silu. Beberapa siri peperangan berlaku antara Merah Silu dengan Sultan Maliku”l- Nasar dan akhirnya sultan tewas dan Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun.

Tema

Ketabahan seorang anak raja dalam menghadapi cabaran hidup.
Merah Silu menjadi yatim piatu setelah kematian kedua-dua ibu bapa dan terpaksa merantau dengan adiknya Merah Hasum meninggalkan Semerlanga dan membuka petempatan baru di Beruana. Merah Silu terpaksa berpindah lagi kerana sikapnya tidak disenangi oleh adiknya. Dia berpindah ke Hulu Karang tetapi tidak disukai oleh penduduk di situ kerana kerbau-kerbaunya telah merosakkan tanaman mereka. Merah Silu menetap pula di Buluh Telang apabila dipelawa oleh Megat Iskandar. Merah Silu menghadapi beberapa peperangan dengan Sultan Maliku’l-Nasar sehingga dia dirajakan di Rimba Jerun.

Persoalan

1. Persoalan perselisihan antara adik-beradik
Perselisihan faham antara Merah Silu dengan Merah Hasum kerana tindakan Merah Silu yang menangkap kerbau liar tidak disukai oleh Merah Hasum dan dianggap memalukannya.

2. Persoalan perkara di luar logik akal
Keistimewaan seseorang keturunan raja digambarkan dengan peristiwa aneh misalnyanya cacing gelang-gelang yang direbus oleh Merah Silu bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak.

3. Persoalan keberanian anak raja
Merah Silu menghadapi beberapa peperangan dengan Sultan Maliku’l-Nasar sehingga dia dirajakan di Rimba Jerun.

4. Persoalan sikap pemurah dalam kalangan masyarakat
Merah Silu yang suka menyabung ayam memberi hadiah seekor kerbau kepada orang yang terlibat menyabung ayam dan juga kepada yang hanya datang melihat sahaja malah dia juga memberi semula wang pertaruhan kepada mereka yang kalah.

5. Persoalan kegemaran berjudi dalam kalangan masyarakat
Merah Silu suka menyabung ayam dan mengunakan wang pertaruhan .

Watak dan Perwatakan

Watak Utama

Merah Silu
· Anak sulung Merah Gajah dengan Puteri Betong
· Mempunyai saudara bernama Merah Hasum
· Menjadi yatim piatu sejak kecil setelah kematian ibu dan ayahnya
· Kaya - Cacing gelang-gelang yang direbusnya bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak.
· Suka menyabung ayam – Ramai juara sabung ayam datang bermain menyabung dengan Merah Silu.
· Seorang yang tidak berputus-asa- Merah Silu berulang kali menahan bubu walaupun hasilnya hanya cacing gelang-gelang.
· Seorang yang berani- Merah Silu terlibat dalam beberapa siri peperangan.
· Seorang yang pemurah- Merah Silu suka memberi hadiah kerbau kepada sesiapa yang terlibat dalam sabung ayam.

Watak Sampingan

1. Merah Hasum
· Adik kepada Merah Silu
· Menghormati saudara- Dia bersetuju dengan pandangan Merah Silu untuk berpindah dari negeri Semerlanga.
· Tidak suka perkara sia-sia- Dia marahkan Merah Silu kerana menangkap kerbau liar.
· Bersikap tegas – Dia menyuruh Merah Silu meninggalkan Beruana jika tidak mahu menghentikan perbuatan menangkap kerbau liar.

2. Megat Iskandar
· Saudara kepada Megat Kedah dan Sultan Maliku”l-Nasar.
· Tinggal di Buluh Telang.
· Mempunyai ladang yang luas.
· Bapa angkat kepada Merah Silu.
· Tetap pendirian - Dia berperang di Kumat dengan saudaranya Sultan Maliku’l-Nasar yang tidak bersetuju Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun
· Seorang yang menghormati tetamu - Dia menjamu Merah Silu semasa kedatangan Merah Silu ke Buluh Telang.

3. Sultan Maliku”l- Nasar
· Adik kepada Megat Iskandar dan Megat Kedah
· Tegas- Dia tidak bersetuju dengan tindakan Megat Iskandar untuk melantik Merah Silu di Rimba Jerun.
· Mempertahankan haknya sebagai raja di Rimba Jerun
· Berani – Dia berperang dengan Megat Iskandar di Kumat.

Latar

Latar Tempat

1. Negeri Semerlanga
· Peperangan antara Raja Ahmad dengan Raja Muhammad menyebabkan kedua-duanya terbunuh.
· Tempat asal Merah Silu dan Merah Hasum sebelum keluar merantau.

2. Beruana
· Perkampungan baru yang dibuka oleh Merah Silu dan Merah Hasum.
· Cacing gelang-gelang yang memenuhi bubu Merah Silu yang ditahannya di hulu sungai telah direbus dan bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak menyebabkan Merah Silu menjadi kaya.

3. Kerbau Kampung
· Tempat Merah Silu menangkap kerbau liar.

4. Hulu Karang
· Merah Silu tidak disukai oleh penduduk di situ kerana kerbau-kerbau Merah Silu merosakkan tanaman padi dan pisang mereka.

5. Negeri Buluh Telang
· Menetap di situ setelah dipelawa oleh Megat Iskandar.
· Tempat Merah Silu mengamalkan hobinya menyabung ayam.

6. Rimba Jerun
· Peperangan antara Sultan Maliku”l-Nasar dengan Merah Silu.
· Merah Silu menjadi raja di sini setelah Sultan Maliku’l-Nasar ditewaskan oleh Megat Iskandar di Kumat.

Latar Masa

1. Bermula dari kelahiran Merah Silu hingga dilantik menjadi raja di Rimba Jerun.
2. Waktu malam – semasa Puteri Betong tidur dan Merah Gajah mencabut sehelai rambut Puteri betong yang berwarna keemasan menyebabkan kematiannya.
3. Waktu siang - Merah Silu pergi ke tepi sungai dan ternampak banyak ikan.

Latar Masyarakat

1. Golongan bangsawan – Merah Silu, Merah Hasum, Puteri Betong, Merah Gajah, Raja Ahmad, Raja Muhammad, Megat Iskandar,Megat Kedah, Sultan Maliku’l-Nasar
2. Masyarakat yang suka menyabung ayam - Ramai juara sabung ayam datang bermain menyabung dengan Merah Silu.
3. Golongan bawahan – orang yang diupah untuk mengorek lubang besar (anderak) bagi menangkap kerbau liar
· Golongan askar – golongan yang terlibat dalam beberapa siri peperangan.
· Masyarakat yang suka membantu - Megat Iskandar mempelawa Merah Silu menetap di situ.

Gaya Bahasa

1. Bahasa Klasik – anderak, dibantunnya), senawat
2. Bahasa istana - baginda, adinda, kakanda , anakanda
3. Bahasa Arab – berkat , Allah Taala
4. Personifikasi – matahari mati
5. Metafora – kerbau jalang
6. Hiperbola
- Bukit yang dilalui Merah Silu menjadi lekuk bekas kerbau itu berjalan .
- Besarnya anderak itu sekadar muat kerbau dua tiga ratus.

Nilai

1. Nilai Taat Setia – rakyat mematuhi perintah raja untuk berperang sehingga melibatkan banyak kehilangan nyawa.
2. Nilai Murah Hati - Merah Silu menghadiahkan seekor kerbau kepada setiap orang yang hadir ke gelanggang sabung ayam.
3. Nilai Keberanian - - Merah Silu berani berperang menentang Sultan Maliku’l-Nasar untuk menjadi raja di Rimba Jerun.
4. Nilai Berdikari – Merah Silu keluar mencari petempatan baru sendirian setelah dihalau oleh Merah Hasum.

Pengajaran

· Kita hendaklah menyelesaikan masalah yang timbul melalui rundingan bukannya peperangan.
· Kita hendaklah berani mempertahankan maruah supaya hak kita tidak diganggu- gugat.
· Kita hendaklah menghormati tetamu.
· Kita janganlah menganiayai binatang.
· Kita hendaklah menyelidik dahulu sesuatu perkhabaran sebelum mengambil sebarang tindakan.

.

No comments:

Post a Comment