Tuesday, 28 February 2012

KECEK

KECEK

1 
Seorang pengarah
Membuka akaun semasanya
Di sebuah bank ternama
Tetapi dalam diam
Dia mencantum kemiskinan
Orang lain
Ke dalam amanahnya
Yang telah lama pecah.

2
Di kampung
Seorang petani
Membuka akuan kemiskinannya
Di ruang kedaifan
Dan mengunci sedozen anak-anaknya
Di dalam pagar sengsara
Tetapi dia tidak pernah mencantum
Kekayaan orang lain
Ke dalam getirnya
Yang sudah lama
Berumbi.

3
Di pantai
Seorang nelayan
Membuka akaun sengsaranya
Di rahang laut terngannga
Dan mengurung sederet anak-anaknya
Di bawah pusaran nasib
Tapi dia tidak pernah mengumpul
Kesenagan orang lain
Ke dalam kegusarannya
Yang telah lama sekian musim
Berlumut
Di papan hidupnya.

4
Tuhan tidak pernah mungkir
Mencatatkan setiap angka
Dan nilai hitungan paling kecil
Ke dalam akun-Nya
Di rumah keadilan.

Maksud

1
Seorang yang berjawatan pengarah dalam sebuah bank sibuk mengumpul kekayaan dengan hasil simpanan pelangan. Semasa menjalankan tugas dia begitu cilik pecah amanah dan menggelapkan wang. Perbuatan jenayah itu telah lama dilakukan.

2
Di kampung pula, seorang petani hidup dalam serba daif dan kekurangan. Dia tabah dalam membesarkan anak-anak dan menyara keluarga. Walaupun miskin, namun dia tidak pernah mengambil hak orang lain dalam usaha untuk keluar dari belenggu kemiskinan.

3
Di kawasan pantai, seorang nelayan juga dibelenggun kemiskinan. Anak-anaknya turut dibesarkan dalam keadaan kekurangan. Dia tidak pernah menggunakan hasil titik peluh orang lain sepanjang meniti kehidupan yang semakin menghimpit.

4
Setiap dosa dan pahala, kebaikan dan kejahatan setiap individu itu akan dicatatkan. Mereka akan mendapat pembalasan daripada Tuhan seperti yang telah dijanjikan.

Tema

Sikap amanah. Dalam mencari rezeki kita perlu amanah kerana wang yang diperoleh digunakan untuk menyara keluarga. Golongan yang berjawatan didapati sering kali pecah amanah untuk hidup mewah berbanding golongan berpendapatan rendah.

Persoalan

1.     Persoalan tentang sikap amanah ketika menjalankan tugas.
2.     Persoalan tentang kegigihan mencari rezeki.
3.     Persoalan tentang perasaan simpati terhadap golongan kurang berada.

Bentuk

1.     Terdiri daripada 4 rangkap
2.     Rangkap berbentuk bebas
a.      Rangkap 1 – 8 baris
b.     Rangkap 2 -11 baris
c.      Rangkap 3-12 baris
d.     Rangkap 4 –5 baris
3.     Rima akhir setia baris
a.      Rangkap 1 – abbcddba
b.     Rangkap 2 -abcdccedccb
c.      Rangkap 3-abcccdebcfgc
d.     Rangkap 4 –abcbd

Gaya bahasa

1.     Ayat pendek
2.     Aliterasi
3.     Asonansi
4.     Metafora

Nilai

1.     Nilai amanah. Apabila menjalankan tugas, laksanakan tugas dengan penuh amanah.
2.     Nilai kegigihan. Walaupun hidup dalam suasana miskin, sikap gigih amatlah penting untuk mencari rezeki.
3.     Nilai simpati. Perasaan ini perlu wujud terhadap golongan kurang berada.

Pengajaran

1.     Kita haruslah bersikap amanah ketika menjalankan tugas.       
2.     Kita haruslah gigih untuk mencari rezeki.
3.     Kita haruslah sentiasa bersimpati terhadap golongan kurang berada.




No comments:

Post a Comment