Langkah-langkah Mempopularkan Permainan Tradisional
Masyarakat Melayu mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang digarap daripada pelbagai keturunan. Kebudayaan ini disatukan menjadi satu kebudayaan yang unik kerana hampir setiap keturunan mempunyai adat sehingga membentuk kebudayaan Melayu. Lantaran resam yang majmuk ini, maka banyak permainan tradisional yang dipertandingkan. Permainan tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Tonggak penting yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Keadaan ini membolehkan mereka bekerja dan berhibur pada masa yang sama. Malah sejak dari kecil lagi mereka membiasakan diri dengan keadaan yang demikian ibarat kata “alah bisa tegal biasa”. Apabila sesuatu permainan diadakan di sesebuah kampung, penduduk kampung berdekatan turut berkunjung untuk mengambil bahagian atau sekadar memberi semangat. Suasana pesta di padang permainan boleh mewujudkan interaksi sosial di antara kampung-kampung yang mengambil bahagian. Oleh hal yang demikian permainan tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat antaranya termasuklah guli, congkak, wau, selambut, sepak raga, gasing dan lain-lain. Namun begitu,akibat daripada kemajuan dunia dalam pelbagai skop, permainan ini seolah-olah dianaktirikan begitu sahaja oleh masyarakat kita ibarat melukut ditepi gantang malah hidup segan mati tak mahu. Oleh itu, pelbagai langkah yang pragmatik perlu dilaksanakan dalam usaha menggiatkan permainan tradisional pada hari ini.
Keluarga mendukung obligasi yang dominan dalam usaha ke arah menggiatkan permainan tradisional tanah air. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menghadiahi anak-anak dengan set-set permainan tradisional sebagai hadiah hari lahir iaitu congkak dan gasing. Melalui langkah ini, ternyata anak-anak akan berasa terhibur dan teruja selain dapat mengenali warisan nenek moyang kita. Pada waktu senggang, ibu bapa boleh membawa setiap ahli keluarga mereka bermain permianan tradisional ini agar anak-anak akan mempunyai semangat untuk bermain permainan ini memandangkan ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Bahkan, ibu bapa juga mampu menyerapkan minat terhadap permainan ini dalam kalangan anak-anak dengan menggalakkan mereka menyertai pertandingan permainan tradisional di peringkat sekolah mahupun anjuran badan-badan bebas. Hal ini dapat mencambahkan minat generasi muda untuk terus berkecimpung dalam tradisi permainan ini. Golongan pascamerdeka khususnya generasi baru sepatutnya menyanjung dan menjunjung warisan budaya kita persis peribahasa Melayu yang berbunyi biar mati anak,jangan mati adat. Oleh itu, setiap ahli keluarga terutamanya ibu bapa memikul tanggungjawab murni untuk mempopularkan permainan tradisional negara kita.
Selain itu, permainan tradisonal juga dapat digiatkan dengan adanya peranan daripada pihak sekolah. Pihak sekolah boleh memainkan peranan dengan menganjurkan kelab permainan tradisional dalam aktiviti kokurikulum. Dalam hal ini, pihak sekolah perlu memastikan kelab ini bergerak secara aktif bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Pelajar sekolah perlu diberi galakkan untuk menyertai kelab ini kerana dapat didedahkan dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang boleh menjadi salah satu hobi mereka. Sebagai contoh, permainan congkak, permainan gasing dan permainan batu seremban. Bahkan, pelajar juga dapat mendominasi teknik bermain permainan warisan ini dengan tepat dan betul. Dengan itu, mereka akan lebih menguasai permainan ini kerana mereka telah belajar dengan orang yang berpengalaman dan profesional kerana jauhari jua yang mengenal manikam.
Pihak sekolah boleh menjemput pihak luar seperti orang perseorangan yang mahir dalam sesuatu permainan tradisonal untuk mengajar asas dan teknik permainan. Pelajar akan dibimbing secara efektif dengan pihak yang berkemahiran itu. Sebagai contoh, dalam permainan congkak, pelajar dapat mengetahui tentang guli yang dikenali sebagai buah dan kawasan pemain dikenali sebagai rumah. Pihak sekolah juga boleh menggiatkan permainan tradisional dalam kalangan pelajar sekolah dengan menyediakan lebih banyak alatan permainan ini. Hal ini mencerminkan dengan jelas sekiranya mereka sukar mendapatkan permainan ini, minat mereka mulai pudar dan beranggapan peluang untuk mendekatkan diri dengan permainan amat nipis. Alatan permainan tradisonal juga sukar diperoleh di pasaran dan kebiasaannya amat terhad. Pelajar akan menemui kesukaran untuk membeli alatan permainan pusaka nenek moyang ini. Dengan cara membeli alatan permainan ini terus daripada kilang, kos untuk membelinya menjadi bertambah murah. Dengan itu, pihak sekolah dapat membelinya dalam kuantiti borong yang banyak. Dengan adanya pelbagai permainan tradisional yang dibekalkan oleh pihak sekolah, pelajar akan berminat untuk bermain permainan ini. Bukan sahaja pelajar yang menyertai kelab ini, bahkan semua pelajar boleh mencuba untuk bermain permainan tradisional ini. Masalah seperti kekurangan peralatan untuk bermain tidak akan timbul lagi.
Pihak sekolah juga boleh menjadi pendukung utama dalam mempopularkan permainan tradisonal dalam kalangan pelajar sekolah dengan menyediakan tempat-tempat permainan ini. Hal ini akan memudahkan mereka untuk bermain dalam suasana yang selesa dan kondusif. Mereka menyediakan padang untuk bermain gasing dan kawasan yang luas untuk bermain wau. Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk menggiatkan permainan dalam kalangan masyarakat dapat dilaksanakan dengan adanya peranan pihak sekolah dalam memikul obligasi tersebut kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.
Dalam fasa itu, masyarakat memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam menjayakan usaha ini. Pihak masyarakat wajar memberikan sokongan terhadap permainan tradisional dengan menubuhkan kelab permainan tradisonal di tempat tinggal. Dengan wujudnya kelab-kelab seperti ini seperti kelab sepak raga, kelab congkak dan kelab wau, usaha untuk membaja kembali permainan ini akan menjadi lebih mapan. Hal ini demikian kerana dengan adanya kelompok besar masyarakat yang memperjuangkan warisan ini, permainan tradisional tidak akan lapuk dek hujan,tidak akan lekang dek panas. Hal ini berbeza sekiranya perjuangan mempertahankan permainan hanya mengharapkan sebilangan kecil rakyat Malaysia kerana sebatang lidi amat mudah dipatah-patahkan berbanding seberkas lidi. Pastinya, dengan penglibatan bilangan komuniti yang ramai, usaha untuk mempopularkan permainan nenek moyang ini tidak akan menjadi sekadar hangat-hangat tahi ayam. Tambahan lagi, masyarakat perlu berusaha untuk mewujudkan tapak permainan tradisional di kawasan perumahan mereka. Hal ini dapat menarik perhatian penduduk sekitar beriadah sambil memainkan permainan ini. Pelbagai pertandingan berkisarkan permainan tradisional dapat dianjurkan di tapak itu bagi mengelakkan permainan ini daripada terus berkubur begitu sahaja tanpa mendapat sebarang pembelaan. Oleh hal yang demikian, pihak masyarakat perlu berganding bahu dalam mengetengahkan permainan tradisional agar permainan ini akan terus utuh berdiri dalam arus perdana.
Langkah yang paling afdal bagi memajukan permainan tradisional ialahkerajaan hendaklah mengadakan lebih banyak lagi kempen dan promosiyang progresif menerusi media massa serta media cetak bagi mendedahkan masyarakat tentang peri pentingnya kita menjaga warisan nenek moyang kita iaitu permainan tradisional yang sudah lama wujud di negara kita ini. Kita acap kali diperdengarkan mengenai peribahasa yang berbunyi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Janganlah kita merindui permainan tradisional selepas permainan ini pupus ditelan zaman. Dengan itu, Kementerian Warisan dan Kebudayaan telah mengambil langkah bagi mempopularkannya dengan mengadakan kempen seperti kempen “Jom Main Permainan Tradisional” dan pertandingan ‘Festival Layang –Layang Antarabangsa’ yang merupakan rencah maslahat untuk memajukannya. Langkah tersebut penting supaya ahli masyarakat tidak kira dari dalam negara mahupun luar negara mendapat pendedahan dan mempelajari permainan tradisional sepanjang kempen dan pertandingan dijalankan kerana tak kenal, maka tak cinta. Bukan itu sahaja, kerajaan juga boleh menetapkan satu bulan sebagai ‘Bulan Permainan tradisional’. Oleh hal yang demikian, dengan adanya langkah proaktif tersebut, kita dapat memastikan permainan tradisional mampu menjadi warisan budaya untuk generasi yang akan datang.
Minat yang mendalam terhadap permainan tradisional seperti wau, layang-layang, sepak raga, gasing dan sebagainya tidak mencukupi sekiranya tiada kemudahan untuk memainkannya. Bagi menangani isu ini, kerajaan haruslah menyediakan lebih banyak tempat atau gelanggang permainan tradisional untuk memudahkan rakyat bermain permainan ini. Pembinaannya pula hendaklah di tempat-tempat yang strategik seperti di sekitar taman perumahan supaya setiap lapisan masyaarkat lebih-lebih lagi golongan belia dapat menghabiskan waktu senggang mereka dengan bermain permainan tradisional. Selain itu, jurulatih yang terlatih juga patut disediakan di setiap gelanggang bagi mendidik para pemain tentang cara-cara sebenar untuk memainkannya. Gandingan kedua-dua ini dapat menambahkan bilangan peminat permainan tradisional di seluruh negara sekali gus mempopularkannya di mata dunia. Sekolah juga memainkan peranan penting dalam memajukan permainan tradisional ini. Oleh itu, kerajaan boleh menetapkan pemainan tradisional sebagai salah satu aktiviti kokurikulum di sekolah. Kelab Permainan Tradisional juga boleh ditubuhkan serta pihak sekolah boleh menjadikan permainan tradisional sebagai salah satu acara dalam sukan. Kerjasama yang erat antara kaum ibarat aur dengan tebing dalam permainan ini dapat meningkatkan perpaduan dan merapatkan hubungan silaturahim antara satu sama lain sekali gus visi kudsi 1 Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perpaduan dapat digarap sepenuhnya. Hal ini sesuai dengan pepatah yang berbunyi, “ ada padi semua jadi, ada beras semua deras”.
Secara tuntas, pelbagai pihak memainkan peranan yang sepada dalam usaha mempopularkan permainan tradisional. Oleh itu, mereka perlulah mengambi langkah yang vital, imperatif, kritis dan pragmatik supaya dapat memanifestasikan generasi pelapis negara yang tidak akan lupa akan warisan mereka ibarat kacang lupakan kulit. Generasi pada hari ini perlu digarap agar menghargai dan menjunjungi pusaka warisan mereka sejak dari rebung lagi. Barulah warisan permainan tradisional akan terus hidup subur dalam kehidupan masyarakat kita. Generasi muda perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan warisan ini tidak hanyut ditelan zaman. Sekarang tibalah waktunya anak-anak remaja yang merupakan generasi penggerak wawasan menimba sebanyak ilmu pengetahuan agar dapat digunakan dalam usaha memelihara permainan tradisional ini pada masa akan datang. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu bagai lebah menghimpun madu, agar impian ini tidak akan dipersia-siakan begitu sahaja dan terus dapat dihidupkan dari semasa ke semasa.
.
No comments:
Post a Comment