Wednesday, 10 December 2014

Amalan Remaja yang Sihat

Amalan Remaja yang Sihat

Kesihatan dari segi fizikal, mental, rohani dan emosi amat penting dalam kehidupan remaja.
Berdasarkan pernyataan di atas, huraikan amalan-amalan remaja yang sihat.

Kesihatan bukan sahaja berkaitan dengan bebas daripada penyakit tetapi juga memiliki pemikiran yang cerdas bersama-sama emosi yang stabil. Pemilikan kesihatan yang baik penting buat remaja kerana tahap kesihatan ketika usia mudalah yang akan menentukan tahap kesihatan mereka pada masa tua kelak. Malah, penting untuk remaja sentiasa membesar dengan sihat kerana negara ini bergantung harap kepada generasi muda untuk kemajuan masa hadapan bak kata pepatah “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Mantan Presiden Indonesia pernah berkata, “Berikan aku sepuluh orang remaja waja, pasti aku biasa goncangkan dunia” jelas membuktikan bahawa remaja yang waja sihat mental dan fizikal mampu mengorak kemajuan sesebuah negara. Untuk mendapatkan kesihatan yang baik, remaja harus melakukan amalan yang baik untuk perkembangan fizikal, mental dan emosi.

Antara amalan yang harus dilakukan ialah remaja perlu mempunyai disiplin diri yang baik. Maksud disiplin dalam aspek ini ialah remaja itu mematuhi jadual belajar, menghormati orang tua, guru, rakan-rakan dan peraturan budaya serta undang-undang negara. Remaja yang berdisiplin sebegini pasti tidak akan terjebak dalam sebarang aktiviti yang tidak sihat dalam kehidupan mereka lalu mampu memiliki tahap kesihatan yang baik. Maka, amalan disiplin yang baik menjadikan seseorang remaja itu mempunyai kesihatan yang baik. Sesuai dengan pendapat ahli falsafah Hamka yang mengatakan bahawa, “Di dalam medan hidup, ada beberapa undang-undang yang harus dijaga dan diperhatikan. Ada yang berhubungan dengan kesihatan tubuh, dengan kebersihan akal dan yang berhubung dengan kemuliaan adab dan budi”. 

Selain itu, remaja juga perlulah mengamalkan cara hidup yang sihat.Konsep cara hidup yang sihat ini meliputi makanan yang seimbang, melakukan riadah dan aktiviti kemasyarakatan seperti melakukan kebajikan di rumah anak-anak yatim dan melawat rumah orang-orang tua. Aktiviti tersebut akan membantu kecerdasan fizikal dan mental remaja kerana badan cergas, otak cerdas. Sudah banyak kajian yang membuktikan bahawa amalan cara hidup yang sihat menjadikan diri seseorang itu lebih positif dan mampu menjalani kehidupan mereka dengan lebih baik lagi. Terdapat sebuah al-Hadis yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang termasuk orang yang baik-baik ialah orang yang paling baik akhlak dan adab sopannya”. Sesungguhnya, cara hidup yang sihat menjamin kesihatan yang seimbang kepada remaja di negara ini.

Malahan, amalan mempelajari dan mematuhi ajaran agama merupakan satu lagi amalan yang turut mampu menguatkan kesihatan seseorang itu. Semua ajaran agama menekankan aspek keseimbangan kehidupan seseorang  supaya mampu menjalani satu kehidupan yang baik di dunia dan akhirat kelak. Sikap mematuhi amalan agama memberikan remaja satu matlamat hidup yang mampu meninggikan tahap kesihatan mereka pada masa yang serupa pula. Ahli falsafah Hamka pernah mengatakan bahawa “Agama tidak melarang sesuatu perbuatan kalau perbuatan itu tidak merosak jiwa. Agama tidak menyuruh, kalau suruhan tidak membawa selamat dan bahagia jiwa”.Jadi, sikap mematuhi ajaran keagamaan boleh memberi remaja satu kepuasan dalam hidupnya yang berupaya juga meningkatkan tahap kesihatan.

Remaja juga perlu bersikap tegas terhadap tindakan-tindakan negatif yang wujud dalam kehidupan mereka. Sikap suka merokok, melepak, dadah dan jenayah haruslah dikikis dalam minda remaja. Ketegasan remaja dalam semua aspek di atas itu mampu menjauhi remaja daripada sebarang kemelut sosial yang melanda negara ini lalu memberikan kesihatan yang baik kepada remaja juga. Bukan sahaja remaja sihat tetapi mereka seolah-olah sedar keperluan atau kepentingan hidup mereka di dunia ini.

Amalan murni yang penting diamalkan seterusnya ialah  remaja hendaklah mampu mengawal emosinya apabila berhadapan dengan sesuatu masalah.Ketenangan inilah yang memberikan remaja satu pemikiran yang rasional dan rela berbincang apabila mengalami sesuatu kemelut dalam hidup mereka. Semua tindakan yang diambil ketika berfikir rasional mampu memberikan satu persepi baru yang boleh menunjukkan jalan keluar terhadap masalah yang dihadapi itu. Pujangga pernah mengatakan bahawa tiada satu kejahatan pun yang dapat dinilai sebagai baik, meskipun melakukan kejahatan itu dikatakan bertujuan baik. Oleh itu, sikap rasional ketika melakukan sesuatu tindakan boleh menjadikan kesihatan seseorang itu lebih baik.

Kesimpulannya, semua amalan yang positif ini perlu dilaksanakan oleh remaja. Kesihatan remaja yang mengamalkan semua amalan ini pasti baik kerana bukan sahaja tubuh mereka sihat tetapi emosi serta pemikiran mereka turut menerima impak positifnya. Ingatlah bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.Remaja yang sihat sebeginilah yang diperlukan oleh negara dalam mengharungi cabaran kehidupan moden kini. Sekiranya remaja benar-benar sedar tentang kepentingan amalan hidup yang sihat, pasti remaja akan berusaha untuk mencapainya kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

.

No comments:

Post a Comment