Saturday, 14 July 2012

PERMAINAN TRADISIONAL DI NEGARA KITA

PERMAINAN TRADISIONAL  DI NEGARA KITA

           Di Malaysia,  terdapat pelbagai jenis permainan.Satu daripada permainan yang wajar kita berikan perhatian ialah permainan tradisional.
          
           Permainan tradisional adalah  seperti gasing, wau, sepak raga, congkak, galah panjang dan teng-teng. Permainan tradisional ini sangat popular di kalangan masyarakat   pada masa lalu. Permainan wau digemari oleh masyarakat pantai timur. Permainan congkak digemari oleh gadis remaja dan dianggap sebagai permainan dalaman. Permainan gasing dan sepak raga pula  digemari oleh remaja lelaki dan selalunya permaian berlangsung pada waktu petang. Walau bagaimanapun, kini, permainan tradisional semakin kurang diminati oleh masyarakat khususnya generasi muda.

           Permainan tradisional kurang diminati  kerana perkembangan teknologi moden yang begitu pesat. Komputer dan permainan video dengan keunikan yang tersendiri dapat menarik perhatian  generasi muda untuk menggunakannya. Pelbagai permainan yang sentiasa diperbaharui dalam internet menyebabkan seseorang itu tertarik untuk bermain komputer dan tidak berminat untuk melibatkan diri dalam permainan tradisional. Selain itu, masyarakat menganggap permainan tradisional tiada nilai komersial. Hal ini berlainan dengan permainan bowling, badminton ataupun bola sepak yang memberikan pulangan yang lumayan. Misalnya, penglibatan Shalin Zulkifli dalam sukan bowling mendatangkan pendapatan yang lumayan dan menaikkan namanya dan nama negara di peringkat antarabangsa. Penglibatan dalam permainan tradisional  seperti permainan  wau tidak dapat memberikan faedah dari segi kewangan.

     Selain itu, bahan untuk permainan tradisional ini sukar dicari di samping memerlukan kepakaran yang tinggi. Bagi membuat congkak dan gasing misalnya, tukang gasing dan congkak memerlukan kayu yang bermutu. Sebagaimana yang kita sedia maklum, pokok-pokok di hutan semakin pupus akibat penebangan  hutan yang tidak terkawal. Untuk membuat wau pula  memerlukan kepakaran tertentu.
    
     

          Kesimpulannya, permainan tradisional perlu diperkenalkan kepada masyarakat agar generasi akan datang mengenali permainan tradisional ini dan tidak hilang ditelan zaman. Kempen dan galakan untuk melibatkan generasi muda perlu dilaksanakan dengan segera.    

    No comments:

    Post a Comment